Ahad, 17 April 2011

Sajak "Lebah dan Madu"

Maksud

Rangkap 1: Pada dahan pokok tualang, kelihatan sekumpulan lebah membuat sarang. Lebah-lebah itu menggambarkan sikap yang terpuji, iaitu sebagai serangga yang cergas dan sentiasa hidup bermuafakat.

Rangkap 2: Koloni lebah itu mempunyai ketua atau pemimpin, iaitu ratu lebah. Ratu yang mengatur dan mengawasi aktiviti pekerja membuat sarang dan madu. Penghasilan madu (dari bunga-bungaan terpilih) dengan rasanya yang manis, kemudian menjadi penawar (yang mujarab) bagi penyakit yang dihidapi manusia.

Rangkap 3: Pemerhatian terhadap lebah pada dahan pohon tualang berkenaan menyedarkan penyajak (manusia yang peka) bahawa seseorang itu harus sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam sesuatu pekerjaan. Selain itu. seseorang itu juga hendaklah meninggalkan jasa sebagaimana lebah yang menghadiahi manusia dengan madu yang istimewa.


Tema

Kesedaran untuk mencontohi lebah yang sentiasa bekerjasama, dan sepakat, selain berjasa kepada hidupan lain.


Persoalan

1 Ketekunan dalam melakukan sesuatu pekerjaan

2 Permuafakatan dalam sebarang pekerjaan

3 Kerajinan dalam menyempurnakan sesuatu tugasan

4 Ketaatan terhadap pemimpin

5 Kebijaksanaan dalam mengatur organisasi

6 Hidup berjasa sesama makhluk

7 Kepekaan terhadap sifat terpuji makhluk lain


Nilai

1. Bekerjasama - Kerjasama yang terjalin antara lebah sehingga mampu membuat sarang pada dahan pokok tualang.

2. Kerajinan - Kerajinan lebah dalam usaha membuat sarang dan menghasilkan madu.

3. Bersatu padu - Hidup lebah yang sentiasa bermuafakat dan bersatu padu telah membawa kejayaan.

4. Berjasa - Lebah berjasa besar kepada manusia kerana madunya menjadi penawar kepada penyakit.

5. Taat kepada pemimpin - Pekerja lebah mematuhi arahan ratu sebagai pemerintah.


Pengajaran

1. Kita hendaklah tekun dalam melakukan sesuatu pekerjaan

2. Kita hendaklah sentiasa bermuafakat dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan

3. Kita hendaklah mematuhi arahan ketua

4. Kita hendaklah bijak dalam memimpin

5. Kita wajiblah hidup berjasa sesama makhluk

6. Kita hendaklah mencontohi sifat-sifat terpuji yang dimiliki oleh makhluk lain

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan