Selasa, 8 Mei 2012

Sajak 'Asap'

Tema: Keburukan dan kesengsaraan yang timbul akibat daripada menghidu asap atau menghisap rokok kepada manusia.

Huraian Mengikut Rangkap

Asap,
mengapakah
bisamu
memedihkan mataku
menangis - tanpa sebab?

Asap yang berkepul-kepul di udara boleh memedihkan mata seseorang bagaikan sedang menangis tanpa diketahui puncanya.

Asap,
mengapakah rongga-ronggamu
semakin lama semakin membesar
dan aku tenggelam lemas
tanpa airnya?

Asap yang makin banyak dibebaskan menyebabkan seseorang berasa lemas di kawasan daratan lapang, bukan lemas di dalam air.

Asap,
hanya satu jantungku ini
telah kaurampas
berjuta-juta yang lain
tua dan muda
tanpa belas.

Asap menyesakkan jantung manusia tidak kira usia, serta tidak mengenal mangsa.
 
Asap.
tidak dapat kurasai
dengan sentuhan
tetapi bahangmu cukup
memusnahkan segala
tanpa apinya    

Asap juga ialah bahan cemar yang tidak dapat disentuh. Namun, asap membawa kemusnahan walaupun api yang membebaskan asap tiada lagi.
 
Unsur-unsur bahasa
a) Personafikasi contohnya hanya satu jantungku ini, telah kaurampas
b) Inversi contohnya hanya satu jantungku ini
c) Sinkope contohnya  mu, kau, ku

Unsur-unsur Bunyi
a) Asonansi - semakin lama semakin membesar (pengulangan vokal a)
b) Aliterasi - hanya satu jantungku ini (pengulangan konsonan n)
c) Rima akhirnya bebas
Rangkap 1 - abccd
Rangkap 2 - abcde
Rangkap 3 - abcdec
Rangkap 4 - abcdee

Pengajaran
1. Jangan menghisap rokok kerana asap yang terhasil membahayakan kesihatan semua pihak
2. Kita perlu sedar maut boleh menimpa secara tiba-tiba kerana asap 
3. janganlah melakukan sesuatu yang merosakkan diri dan alam
 

2 ulasan:

  1. Terima kasih cikgu, saya betul betul memerlukan semua ini dan cikgu telah memberikannya kepada saya.

    BalasPadam
  2. Terima kasih cikgu, saya betul betul memerlukan semua ini dan cikgu telah memberikannya kepada saya.

    BalasPadam