Isnin, 30 Julai 2012

Hikayat Opu Daeng Menambun

Sinopsis : 

Mengisahkan salasilah keluarga raja-raja Kalimantan. Kisah bermula dengan Sang Raja Majapahit mempunyai anak bernama Brawijaya. Brawijaya apabila dewasa menjadi raja di negeri Sukudana. Daripada keturunannya lahirlah Raja Baporang yang telah melahirkan Pangeran Karang Tanjung. Pangeran Karang Tanjung pula mempunyai seorang anak bernama Panembahan Bendala. Panembahan Bendala beranakkan Panembahan Sukudana.  Cerita diakhiri dengan kisah Pangeran Agung yang mempunyai ramai anak iaitu Ratu Melayu,Utin Radi, Pangeran Marta, Raden Segara, Gusti Aris,Pangeran Surya dan Tiak Ra’i, ibu kepada Raden Ambong.

Tema : 
Cerita ini bertemakan salasilah keturunan Raja-raja Kalimantan
 Persoalan :

1.    Persoalan tentang kepentingan mengetahui asal-usul kekeluargaan.
2.    Persoalan perlunya mengenali jati diri sesebuah keluarga.
Watak dan Perwatakan : 

Watak Utama
Upu Daeng Menambun 
  •   Keturunan Sang Raja Majapahit.
  •   Raja BugisBerkahwin dengan anak Sultan Muhammad Zainuddin, Puteri Kesumba.
  • Memiliki 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan.   
  • Ayahanda kepada:
o   Utin Damawan
o   Gusti Jamiral bergelar Panembahan Adi Jaya Kesuma
o   Gusti Jamadin bergelar di Sambas Pangeran Chakra
o   Utin Chandera Sari bergelar Ratu di Sempang
o   Gusti Jalazri bergelar Pangeran Mangku di Mampawah
o   Ratu Surya Kusuma
o   Gusti Jalma bergelar Gusti Panglima
o   Utin Chandramidi
o   Gusti Sina bergelar Pangeran Jaya Putera
o   Utin Tawang bergelar Utin Busu
  • Bapa mertua kepada raja Landak, Raja Bagus. (suami Utin Damawan) 
  • Bapa mertua kepada Sultan Sharif Abdul Rahman (suami Utin Chandramidi)
  • Bermenantukan Pangeran Ghafura, sepupu sultan Berunai (suami Utin Tawang)
Watak Sampingan
Sang Raja Majapahit 
  • Mengetuai salasilah keturunan Brawijaya hinggalah Pangeran Agung Martadipura 
  • Merupakan pemula keturunan Raja-raja Kalmantan
Brawijaya 
  •   Keturunan pertama kepada Sang Raja Majapahit 
  • Menjadi raja di Benua Lama, negeri Sukudana.
  • Beranakkan Raja Baporang
     
Raja Baporang 
  • Beranakkan Pangeran Karang Tanjung
Pangeran Karang Tanjung 
  • Beranakkan Panembahan Bendala
Panembahan Bendala 
  • Beranakkan Panembahan Sukudana
Panembahan Sukudana 
  • Beranakkan Panembahan Air Mala
Panembahan Air Mala 
  • Beranakkan Panembahan di Baroh
Panembahan di Baroh 
  • Beranakkan Panembahan Giri Kesuma
Panembahan Giri Kesukma  
Beranakkan Sultan Muhammad Saifudin
Ø  Bersaudarakan Ratu Surya Kesuma
Latar : 

Latar Tempat
Ø        Negeri Pontianak
Tempat pemerintahan menantu Upu Daeng Menambun yang bernama Sultan Sharif Abdul Rahman, suami kepada Utin Chandaramidi.
Ø        Negeri Sambas
Tempat pemerintahan Sultan Muhammad Saiffuddin
Ø        Negeri Mempawah
Tempat asal isteri Sultan Muhammad Zainuddin yang bernama Emas Inderawati
Ø        Sukudana
Tempat Brawijaya menjadi raja dan meluaskan salasilah keturunan Sang Raja Majapahit.
Latar Masyarakat
Ø    Masyarakat keturunan bangsawan
Salah silah keluarga Sang Raja Majapahit yang berketurunan bangsawan di Jawa dan Brunei.
Ø    Masyarakat yang mementingkan darah keturunan
Keturunan Sang Raja Majapahit mengekalkan darah keturunan melalui perkahwinan dengan golongan diraja.

Gaya Bahasa : 

1.    Bahasa Arab
Fatihah, Quran
2.    Kata ganda
laki-laki, mula-mula, pertama-tama
3.    Bahasa istana
dititahkan, baginda
Nilai : 

1.    Nilai jati diri
Keturunan Sang Raja Majapahit yang mementingkan jati diri dengan memastikan salah silah keturunannya kekal melalui perkahwinan.
2.    Nilai pemeliharaan salasilah keluarga.
Pengajaran : 

1.      Kita hendaklah  berbangga dengan susur galur keluarga sendiri.
2.      Kita perlulah membina keturunan keluarga yang dirahmati Allah.
3.      Kita mestilah memelihara salasilah keluarga.

Hikayat Anggun Cik Tunggal

Sinopsis :

Kapal milik Raja Anggun Cik Tunggal bernama Dendang Panjang sedang berlabuh. Tiba-tiba sebuah lancang kuning berlabuh betul-betul di hadapannya. Bujang Selamat bertanya kepada pemilik lancang kuning mengapa berlabuh secara melulu. Si Kembang Cina yang berada dalam lancang kuning dengan beraninya menerangkan hajat nakhodanya.
           
Raja Anggun Cik Tunggal yang tercabar dengan kelancangan Si Kembang Cina telah mengisytiharkan perang terhadap kebiadaban nakhoda lancang kuning iaitu Nakhoda Ragam.  Berlakulah tembak menembak di antara Raja Anggun Cik Tunggal dengan Nakhoda Ragam (Tuan Puteri). Dalam insiden itu, Tuan Puteri nyaris-nyaris terkorban akibat tembakan Raja Anggun Cik Tunggal yang langsung tidak usul periksa.  Dalam keadaan yang terdesak itu, Tuan Puteri menyalin pakaiannya dan menunjukkan identitinya yang sebenar iaitu Tuan Puteri Gondan Ganariah iaitu tunangan Raja Anggun Cik Tunggal. Hal ini menyebabkan Raja Anggun Cik Tunggal tekejut dan malu lalu lari ke biliknya sambil berselubung.
            Tunangannya, Tuan Puteri Gondan Gandariah pun menyatakan rasa terkilannya atas tindakan Raja Anggun Cik Tunggal tadi. Baginda merajuk dan berasa seperti dirinya telah dilupakan Raja Anggun Cik Tunggal. Berlakulah pujuk-memujuk yang akhirnya melembutkan hati Tuan Puteri. Tuan Puteri kemudiannya meminta kebenaran untuk belayar pulang.  Setelah tiga hari tiga malam, kapal Seludang  Mayang berlabuh di pelabuhan negeri Tiku Benua lalu disambut dengan bedilan meriam. Sesampai di istana, Tuan Puteri menyembah salam dan menyampaikan perkhabaran kepada ayahandanya,Raja Laksamana tentang pertemuannya dengan Raja Anggun Cik Tunggal.




Tema :
           
Sikap terburu-buru dan tidak usul periksa yang membawa salah faham. Dalam hal ini, Raja Anggun Cik Tunggal berperang dengan tunangnya, Tuan Puteri Gondan Ganariah kerana tidak tahu kapal lancing kuning itu milik tunangnya.


Persoalan : 

 =
1.    Persoalan perasaan kasih sayang sesama manusia.
Tuan Puteri yang sanggup belayar untuk bertemu dengan tunangannya, Raja Anggun Cik Tunggal.
2.    Persoalan keberanian menegakkan keadilan.
Tuan Puteri yang membalas serangan Raja Anggun Cik Tunggal.
3.    Persoalan keperluan memujuk setelah melakukan kesilapan dalam sesuatu tindakan.
Raja Anggun Cik Tunggal memujuk Tuan Puteri Gondan Ganariah setelah menyedari kesilapannya yang menyerang lancang kuning milik tunangannya.

Watak dan Perwatakan : 

Watak Utama
Raja Anggun Cik Tunggal 
  • Terburu-buru dalam tindakan kerana menyerang kapal Nakhoda Ragam tanpa soal siasat yang mendalam. 
  • Pandai memujuk orang lain. Baginda memujuk tunangnya,Tuan Puteri Gondan Gandariah yang jauh hati akibat insiden membedil yang hampir meragut nyawa. 
  • Begitu sayang akan Tuan Puteri Gondan Ganariah. 
  • Tunangan kepada Tuan Puteri Gondan Ganariah.
Watak Sampingan
Tuan Puteri Gondan Gandariah 
  • Nakhoda lancang kuning yang dibedil.   
  • Menggunakan beberapa nama lain seperti Tuan Puteri Nakhoda Ragam. 
  • Berani kerana sanggup bertembak-tembakan dengan Raja Anggun Cik Tunggal dan hampir terkorban. 
  • Puteri kepada Raja Laksamana. 
  • Baginda merupakan tunangan kepada Raja Anggun Cik Tunggal. 
  • Bijak menggunakan senjata walaupun seorang wanita, buktinya dia melepaskan tembakan yang hampir mengenai Raja Anggun Cik Tunggal. 
  • Seorang yang mudah jauh hati atau merajuk. 
  • Bersifat lembut hati dan mudah dipujuk walaupun telah melalui insiden yang berbahaya.
Raja Laksamana  
  • Ayahanda kepada Tuan Puteri Gondan Gandariah. 
  • Pemerintah negeri Tiku  Benua.
Si Kembang Cina  
  • Orang suruhan dalam kapal Seludang Mayang milik Tuan Puteri Gondan Gandariah. 
  • Yakin, buktinya menjawab tujuan lancing kuning milik nakhodanya dengan berani kepada Bujang Selamat.

Latar : 

Latar  Tempat
Ø Di atas kapal Dendang Panjang.
Di sini Raja Anggun Cik Tunggal bergurau dengan Tuan Puteri Intan Dikarang.  Di sini juga berlaku peristiwa tembak menembak yang membuta tuli dan hampir-hampir meragut nyawa Raja Anggun Cik Tunggal dan Tuan Puteri Gondan Gandariah.
Ø  Di atas kapal Seludang Mayang.
Kapal ini milik Tuan Puteri Gondan Gandariah. Di sini berlakunya peristiwa tembak menembak yang hampir mengorbankan Tuan Puteri Gondan Gandariah.
Ø  Di pelabuhan.
Di situlah kapal Dendang Panjang dan Seludang Mayang berlabuh secara bertentangan.
Ø  Negeri Tiku Benua.
Merupakan negeri asal Tuan Puteri Gondan Gandariah. Rajanya bernama Raja Laksamana. Lancang kuning Seludang Mayang belayar menuju ke negeri ini selepas Tuan Puteri Gondan Gandariah berjaya dipujuk oleh  Raja Anggun Cik Tunggal.
Ø  Negeri Bandan.
Negeri ini merupakan tempat yang ingin ditujui oleh kapal Seludang Mayang milik Tuan Puteri Gondan Gandariah. 
Latar Masa
Ø  Tiga hari tiga malam.
Tempoh masa ini diambil oleh Seludang Mayang untuk belayar balik ke negeri Tiku Benua.
Latar Masyarakat
Ø  Latar masyarakatnya mementingkan budi bahasa.
Sebagai contoh, Bujang Selamat bertanyakan pemilik lancang kuning mengapa berlabuh secara bertentangan dengan kapal Dendang Panjang.
Ø  Latar masyarakat yang memiliki keberanian.
Si Kembang Cina berani menjawab panggilan Bujang Selamat walaupun dia seorang wanita.
Ø  Latar masyarakatnya yang terlalu mudah dicabar.
Raja Anggun Cik Tunggal mudah tercabar apabila Si Kembang Cina sambil bercekak pinggang berani menjawab pertanyaan Bujang Selamat.
Ø  Latar masyarakatnya yang pandai memujuk.
Raja Anggun Cik Tunggal memujuk Tuan Puteri Gondan Gandariah yang jauh hati selepas kejadian tembak-menembak. Baginda berupaya meyakinkan Tuan Puteri Agar tidak meragukan kasih sayangnya.
Ø  Latar masyarakatnya yang kurang usul periksa.
Hal ini ditunjukkan oleh sikap Raja Anggun Cik Tunggal yang terus saja menyerang Seludang Mayang dengan tidak usul periksa apakah niat dan tujuannya berlabuh di hadapan Dendang Panjang miliknya.
Ø  Latar masyarakat yang tidak mahu beralah.
Hal ini berlaku kepada Raja Anggun Cik Tunggal yang langsung tidak mahu beralah dalam peristiwa tembak-menembak walaupun dengan tunangannya sendiri.


Gaya Bahasa :

1.    Bahasa istana
Patik, murka, peraduannya, beta
2.    Simile
Bagai ikan di luar belat
3.    Peribahasa
Rendah diri
4.    Bahasa Arab
Allah, Insya-Allah
5.    Kata ganda
Panji-panji, berbalas-balas
6.    Inversi
Gembiranya hati Tuan Puteri

Nilai : 

1.  Nilai kasih sayang
Sebagai contoh Raja Anggun Cik Tunggal memujuk Tuan Puteri Gondan Gandariah kerana baginda sayangkan tunangnya itu walaupun berlaku salah faham dan tembak-menembak sebelum itu.
2.  Nilai kepatuhan
Bujang Selamat patuh pada arahan Raja Anggun Cik Tunggal supaya memeriksa kapal yang berlabuh di hadapan kapal mereka.
3.  Nilai berani
Hal ini ditunjukkan oleh Si Kembang Cina yang sambil bercekak pinggang membalas pertanyaan Bujang Selamat yang dianggapnya mencabar.
4.  NIlai ketabahan
Contoh, Tuan Puteri Gondan Gandariah tetap tabah berhadapan dengan Raja Anggun Cik Tunggal walaupun nyaris terkorban.




 Pengajaran :

1.    Kita hendaklah memeriksa sesuatu perkara dengan teliti sebelum mengambil tindakan.
2.    Kita hendaklah banyak bersabar.
3.    Kita mestilah patuh kepada perintah ketua.
4.    Kita perlulah meningkatkan budi bahasa dalam komunikasi supaya tidak menimbulkan salah faham.
5.    Kita hendaklah menyedari kesilapan dengan memohon maaf.

Raja Muda

Sinopsis :

Cerita bermula dengan suasana kecoh apabila Raja Muda didapati hilang dari rumah Nenek Kebayan. Nenek Kebayan cemas kerana insiden itu boleh mengakibatkan dirinya dibunuh. Dalam masa yang sama, persiapan sedang dilakukan untuk mengahwinkan Sultan Muda dengan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri di negeri Tanjung Bunga Kembang Sekaki. Majlis itu diraikan secara besar-besaran dan penuh adat istiadat.
            Perkahwinan itu dihidu oleh Tuan Puteri Bidadari Segerba yang sudah sebulan kembali ke kayangan. Tuan Puteri Bidadari Segerba pun pergi ke mahligai Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri lalu menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan Sultan Muda untuk bernikah lagi. Raja Muda menjelaskan sebab-sebab baginda bernikah dengan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri  melalui syairnya. Setelah berkenal-kenalan dengan Permaisuri Kaca Bertuang dan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri, Tuan Puteri Bidadari Segerba memaklumkan bahawa dia sedang mengandung enam bulan. Sebagai tanda muafakat,Tuan Puteri Bidadari Segerba sanggup memberikan kandungannya itu kepada Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri. Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri  bersetuju lalu baginda pun memakan sepah sirih lebihan Tuan Puteri Bidadari Segerba. Dengan kuasa Tuhan,kandungan dalam perut Tuan Puteri Bidadari Segerba berpindah ke dalam perut Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri. Setelah kejadian itu, mereka berdua saling berjanji untuk tidak berjumpa selama beberapa tahun.
            Setelah cukup tempoh 12 bulan,pada waktu tengah hari bersamaan dengan hari Selasa, Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri pun sakit hendak bersalin. Sultan Muda pun menyeru isterinya Tuan Puteri Bidadari Segerba di kayangan supaya turun menyaksikan kelahiran anak itu. Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri  selamat melahirkan seorang cahaya mata perempuan yang sihat. Bayi itu lahir dengan diiringi sebelah pedang pada setiap tangan kiri dan kanan. Bayi itu diberi nama Tuan Puteri Renik Jintan Seri Kemala Keinderaan. Satu majlis kesyukuran sempena menyambut kelahiran itu diadakan. Sultan Muda juga memerintahkan Perdana Menteri membuat sebuah balai pancalogam 12 tingkat di tengah Tasik Mendam Berahi untuk dijadikan tempat mandi puteri yang baru lahir itu dan membuat sebuah khemah di tengah Padang Biram Kemala untuk dijadikan tempat bermain.
            Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri  semakin sihat tetapi bayinya tidak menangis, tidak mahu makan dan minum. Hal ini membimbangkan seluruh istana tetapi keadaan menjadi reda setelah Tuan Puteri Bidadari Segerba menjelaskan bahawa keadaan tersebut memang sifat semula jadi anak tersebut.
            Pada hari yang telah ditetapkan Sultan Muda membawa puterinya mandi di Tasik Mendam Berahi. Semua persiapan yang diarahkan telah disiapkan. Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri  dan bondanya membawa Puteri Renik Jintan ke balai pancalogam di tengah-tengah tasik Mendam Berahi untuk dimandikan dengan penuh upacara. Turut diadakan adalah adat ‘turun tanah’ iaitu memijakkan kaki puteri itu ke atas tanah dan kemudiannya ke atas emas serta perak.
            Selesai upacara itu, anak-anak raja pun bersuka ria dengan pelbagai jenis permainan.  Pada sebelah malamnya pula,Sultan Muda membawa isterinya bermain-main di atas pasir yang berkilat dan kemudiannya menyaksikan permainan ‘Doh Besar’, ‘Lang-lang Aji Buntut’ dan ‘cekur-cekur Puyuh’. Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri  turut sama bermain permainan ‘Doh Besan’ kerana terlalu seronok.  Suasana sungguh meriah sehinggalah larut malam dan semua permainan dihentikan.  Keesokannya, kenduri diadakan dengan menyembelih kerbau, bacaan doa selamat dan doa tolak bala. Sultan muda bersama-sama pengiringnya berangkat kembali ke kota keesokannya.


 Tema :

Cerita ini mengetengahkan tema tentang suka-duka pengalaman hidup Raja Muda atau Sultan Muda. Baginda mengharungi pelbagai peristiwa seperti ditinggalkan isteri, bernikah lain dan meraikan kelahiran puterinya.
Persoalan :


1.    Persoalan Kasih sayang dalam sesebuah keluarga.
Dalam hal ini kekanda berenam begitu menyayangi saudara bongsu mereka dengan turut sama meraikan kelahiran Puteri Renik Jintan.
2.    Persoalan Pernikahan yang tidak direlakan.
Pernikahan Sultan Muda dengan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri sebenarnya tidak direlakan oleh Tuan Puteri Bidadari Segerba.
3.  Persoalan semangat kerjasama dalam menyelesaikan sesuatu kesukaran.
4.    Persoalan sanggup berkorban demi kebahagiaan orang lain.
Dalam hal ini Tuan Puteri Bidadari Segerba sanggup memindahkan kandungannya yang berusia enam bulan ke dalam perut Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri  selepas peristiwa pernikahan Sultan Muda dengan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri.
5.    Persoalan kegembiraan menyambut kelahiran seorang bayi.
6.    Persoalan Temasya untuk meraikan kedatangan seorang ahli baru dalam sesebuah keluarga.

Watak dan Perwatakan : 

Watak Utama
Raja Muda (Sultan Muda Gempita Sakti)  
  • Berkahwin dua.
  • Suami kepada Tuan Puteri Dayang Segerba dan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri.
  • Ayahanda kepada Puteri Renik Jintan. 
  • Baginda seorang yang penyayang. Buktinya baginda menyambut kelahiran puterinya dengan segala macam persediaan seperti mengadakan tempat untuk bersiram di Tasik Mendam Berahi. 
  • Baginda juga seorang yang bersifat pemurah. Baginda telah mengadakan kenduri dengan menyembelih kerbau untuk pengikutnya. 
  • Baginda seorang yang menjalankan perintah agama. Sebagai contoh baginda telah mengiqamatkan puterinya yang baru lahir.
Watak Sampingan
Tuan Puteri Bidadari Segerba 
  • Berasal dari kayangan.
  • Anak kepada Maharaja Indera Dewa. 
  • Merupakan isteri kepada Raja Muda.Seorang yang berbudi bahasa. Sebagai contoh, dia pergi menghadiri majlis pernikahan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri dan bersalam-salaman dengan bondanya, Permaisuri Kaca Bertuang.  
  • Beliau juga seorang yang cekal menerima takdir hidup bahawa suaminya berkahwin lain sewaktu beliau berada di kayangan.

Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri 
  • Anakanda kepada Sultan Sedar  Alam dan Permaisuri Kaca Bertuang. 
  • Baginda dinikahkan dengan Sultan Muda.  
  • Isteri kedua Sultan Muda.
  • Seorang yang berfikiran tebuka apabila sanggup mencemar duli untuk turun bermain bersama-sama dalam permainan ‘Doh Besar’. 
  • Seorang yang mengamalkan sikap muafakat apabila sanggup menerima kandungan dari dalam perut Tuan Puteri Bidadari Segerba berpindah ke dalam perutnya.
Tuan Puteri Renik Jintan Seri Kemala Keinderaan 
  • Anak perempuan kepada pasangan Sultan Muda  dan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri.  Sewaktu berada dalam kandungan Tuan Puteri Bidadari Segerba berusia enam purnama, Tuan Puteri telah dipindahkan ke dalam kandungan perut ibunya, Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri. 
  • Tuan Puteri sangat disayangi oleh seluruh ahli keluarga dan istana.  
  • Namanya itu diberikan oleh nendanya.



Gaya Bahasa : 

1.    Kata ganda
Bersuka-sukaan, bermaaf-maafan, dipeluk-peluk, dicium-cium
2.    Personifikasi
Serai beranak di atas dapur.
3.    Bahasa istana
Bersemayam, bersantap
4.    Inversi
Tidak sedap rasa hati
Sudah kakanda berperi
5.    Simile
Betapa padannya puteri itu bersanding dengan Sultan Muda laksana Sargandi dengan Sang Rajuna seorang puteri yang sangat elok rupanya laksana bulan penuh purnama empat belas
6.    Bahasa klasik
Gahara, leta
7.    Bahasa Arab
Mengkamatkan, kiblat


Latar :            
Latar  Masa
Ø  Pada waktu malam
Raja Muda mengajak isterinya bermain pasir di Tasik Mendam Berahi.
Ø  Pada hari Selasa waktu tengah hari.
Pada waktu ini Tuan Puteri Renik Jintan dilahirkan.
Ø  Pada waktu pagi.
Pada waktu ini, berlaku kekecohan di rumah Nenek Kebayan kerana Raja Muda menghilangkan diri.
Latar Tempat
Ø  Di negeri Tanjung Bunga Kembang Sekaki.
Di sinilah dilangsungkan majlis penikahan Sultan Muda dengan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri.
Ø  Di kayangan.
Merupakan tempat asalnya Tuan Puteri Bidadari Segerba.
Ø  Di rumah Nenek Kebayan. 
Raja Muda tinggal di sini sebelum menghilangkan diri untuk pergi bernikah.
Ø  Tasik Mendam Berahi.
Di sini telah dibina sebuah astaka pancalogam 12 tingkat yang merupakan tempat bersiram Tuan Puteri yang baru lahir.
Ø  Padang Biram Kemala.
Di tengah-tengah padang ini dibina sebuah khemah tempat beradu Raja Muda.  Padang ini juga dijadikan tempat anak-anak raja bermain ‘Doh Besan’, anak-anak pembesar bermain ‘Lang-lang Aji Buntut”.
Latar Masyarakat
Ø  Latar masyarakat zaman feudal
Rakyat diperintah oleh raja dan mereka mesti mematuhi titah raja. Buktinya, Perdana Menteri menjalankan arahan Sultan untuk mendirikan astaka dan khemah di Padang Biram Kemala.
Ø  Latar masyarakat yang mementingkan adat dan upacara.
Raja Muda menjalankan upacara ‘memijak tanah’ untuk puterinya.
Ø  Latar masyarakat yang berbudi bahasa
Ø  Latar masyarakat yang amanah kepada tugas
Perdana Menteri menjalankan tugasnya membina pancalogam 12 tingkat dan khemah tempat bersiram dan tempat permainan Puteri Renik Jintan.
Ø  Latar masyarakat yang ahlinya sanggup berkorban demi kebahagiaan orang lain
Tuan Puteri Kuntum Ratna Sari sanggup menerima kandungan Tuan Puteri Bidadari Segerba
Ø  Latar masyarakat yang mengamalkan unsur-unsur Islam
Raja Muda yang mengadakan majlis kesyukuran demi menyambut kelahiran puteri baginda.
  
 Nilai :
           
1.    Nilai kasih sayang
Raja Muda yang begitu kasihkan puterinya hingga sanggup membina pancalogam 12 tingkat dan khemah sebagai tempat bersiram dan tempat permainan puterinya itu.
2.    Nilai redha kepada takdir
Tuan Puteri Bidadari Segerba yang reda dengan perkahwinan kedua Raja Muda kepada Tuan Puteri Kuntum Ratna Sari
3.    Nilai saling menghormati
Kedua-dua isteri Raja Muda saling menghormati keputusan masing-masing untuk tidak berjumpa selama setahun.

Pengajaran : 


1.    Kita hendaklah menjalankan tugas dengan amanah agar tidak menimbulkan masalah pada masa akan datang.
2.    Kita mestilah memberikan semangat dan dorongan kepada orang yang sedang sakit atau dalam kesusahan.
3.    Kita perlulah memohon maaf jika melakukan kesalahan agar tidak menimbulkan syak atau menyakiti hati orang lain.
4.    Kita hendaklah menyambut kelahiran ahli keluarga yang baru dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran.
5.    Seorang suami perlu memaklumkan kepada isterinya sekiranya hendak berkahwin lagi supaya tidak berlaku salah faham.