Sabtu, 29 Januari 2011

Syair Wasiat Ayahanda Siti Zawiyah

Sinopsis

Rangkap 1: Saudagar dan isterinya sudah seminggu sakit dan tidak ke mana-mana.

Rangkap 2: Saudagar merasakan ajalnya hampir tiba, lalu memanggil dan mencium kepala anaknya.

Rangkap 3: Saudagar berpesan kepada anaknya supaya menjaga tingkah laku.

Rangkap 4: Saudagar mewasiatkan seluruh hartanya kepada anaknya.

Rangkap 5: Saudagar berpesan kepada anaknya supaya mengurus hartanya dengan bijak.

Rangkap 6: Jika harta tersebut tidak diurus dengan baik, ia kelak akan menimbulkan kesusahan.

Rangkap 7: saudagar berpesan kepada anaknya supaya berbudi bahasa dan memuliakan ibu bapa serta bersikap mesra terhadap orang lain.

Rangkap 8: Tingkah laku yang baik dan mesra adalah jauh lebih berharga berbanding harta.

Tema

Syair ini mengemukakan tema nasihat dan kata-kata terakhir seorang ayah kepada anaknya.

Persoalan

Antara persoalan yang dimuatkan dalam syair ini ialah kesedihan ketika diambang maut, kasih sayang bapa kepada anaknya, kepentingan menghormati ibu bapa, kepentingan mengurus harta peninggalan dengan bijaksana dan kepentingan amalan budi bahasa sesama insan.

Syair Kemangkatan Sultan Sulaiman

Maksud Syair

Rangkap 1: Kemakmuran negeri Deli tua tiada bandingannya, pasarnya banyak serta meriah, dan kotanya kukuh.

Rangkap 2: Raja Deli mempunyai tiga orang anak. Yang tua lelaki manakala yang kedua ialah perempuan yang sangat cantik.

Rangkap 3: Anakanda yang ketiga ialah lelaki. Parasnya cukup tampan dan diminati tidak kira tua atau muda.

Rangkap 4: Raja kematian isteri dan baginda enggan berkahwin lagi.

Rangkap 5: Ditakdirkan tuhan, suatu hari raja jatuh sakit.

Rangkap 6: Baginda terlalu sakit sehinggakan badannya kurus. Banyak tabib yang datang untuk mengubatinya.

Rangkap 7: Tabib telah berusaha bersungguh-sungguh, namun dengan kehendakTuhan baginda belum sembuh.

Rangkap 8: Usaha tabib tidak berkesan dan baginda semakin tenat.

Rangkap 9: Akhirnya baginda menghembuskan nafas yang terakhir.

Rangkap 10: Setelah mangkat, segala harta dan takhta terpaksa ditinggalkan dan diserahkan kepada penggantinya

Tema

Syair ini mengisahkan hari-hari terakhir seorang raja sebelum baginda mangkat.

Persoalan:

Berusaha dengan sungguh-sungguh untuk mengubati penyakit.

Redha dengan ketentuan Ilahgi bahawa ajal sudah tiba masanya.

Kebesaran dan kekuasaan seorang raja yang tiada bandingannya.

Kesabaran menerima ujian daripada Allah SWT

Budi Seorang Bapa Angkat

Sinopsis

Kemangkatan Tuanku Si helang Laut dan permaisurinya di Bandar Mengkalih menyebabkan anaknya Awang Sulung Merah Muda dipelihara oleh Datuk Batin Alam dan Uli Emak Si Anjang. Kemudian Awang Sulung dihantar mengaji Quran dan merawi di rumah Tuan Kadi Alim. Awang dapat membaca hingga khatam pada malam ketujuh. Seterusnya Awang Awang Sulung diajar belajar ilmu bahasa akal dan bahasa Arab di rumah Tuan Malik Kecil. Dalam masa yang singkat sahaja Awang Sulung dapat menguasai ilmu yang dipelajarinya.

Awang Sulung kemudian diajar ilmu persilatan oleh bapa saudara yang memeliharanya, Datuk Batin Alam. Sesudah mahir, Awang Sulung dikhatankan oleh Datuk Mudim Raja dalam satu majlis yang gemilang. Setelah sembuh daripada khatan, tukang mengasah gigi di panggil ke istana. Baja kayu disapukan ke gigi Awang Sulung menjadikan sesiapa yang terpandang wajah Awang Sulung akan terpikat.

Nilai

Antara nilai murni ialah kasih sayang, contohnya Datuk Batin Alam amat mengasihi anak saudaranya Awang Sulung Merah Muda menyebabkan perhatian dan segala ilmu diberikan kepada kanak-kanak itu.

Selain itu tanggungjawab, contohnya Datuk Batin Alam memberikan pendidikan hal berkaitan dunia dan akhirat kepada Awang Sulung Merah Muda.

Akhir sekali ketaatan, contohnya Awang Sulung Merah Muda taat kepada arahan bapa saudaranya kerana dia mengetahui tindakan bapa saudaranya untuk kebaikannya juga.

Pengajaran

Pengajaran yang diperolehi ialah kita perlu bertanggungjawab terhadap saudara yang terdekat, contohnya Datuk Batin Alam mengambil keputusan memelihara Awang Sulung Merah Muda setelah kedua-dua orang tua kanak-kanak itu meninggal dunia.

Selain itu kita hendaklah memberikan ilmu yang secukupnya kepada anak-anak, contohnya Datuk Batin Alam memberikan ilmu dalm hal berkaitan dunia dan akhirat kepada anak angkatnya, Awang Sulung Merah Muda.

Akhir sekali seorang anak perlu patuh kepada kedua-dua orang tua, contohnya Awang Sulung Merah Muda patuh setiap arahan dan nasihat bapa angkatnya, Datuk Batin Alam

Hikayat Marakarma

Sinopsis

Bab 1 Maharaja Keinderaan

Betara Angkasa Indera Dewa seorang raja yang gagah dan memiliki kerajaan yang besar. Setelah memohon kebenaran daripada Betara Guru, baginda pun turun ke dunia bersama isterinya.

Bab 2 Isteri Si Miskin Mengidam

Maharaja Indera memerintah Anta Beranta, sebuah kerajaan yang besar. Pada satu hari Angkasa Indera Dewa menghadap Maharaja Indera dalam keadaan tubuh yang compang-camping. Melihat keadaan Angkasa Indera Dewa itu (Si Miskin), orang ramai mengetawakannya dan melontar tubuhnya dengan kayu dan batu, sehinggakan tubuh baginda berdarah. Raja mengusir Si Miskin dari istana.
Disebabkan Si Miskin dalam keadaan lapar, dia mencari makanan dalam timbunan sampah. Bersama isterinya, mereka makan daun taruk kayu, ketupat, dan tebu yang besi. Tiga bulan kemudian, isteri Si Miskin pun hamil. Sebenarnya ketupat dan tebu itu ialah anak kepada Betara Karma Jaya, yang telah dipuja dan dijatuhkan dari kayangan menjadi ketupat (lelaki) dan tebu (perempuan).
Sebulan sebelum bersalin, isteri Si Miskin mengidam memakan buah mempelam yang ada dalam taman Maharaja Indera Dewa. Si Miskin memperoleh buah tersebut di pasar, tetapi tidak diterima oleh isterinya. Jalan yang terakhir, Si Miskin pergi menghadap Maharaja Indera Dewa. Baginda mengizinkan diambil buah tersebut. Isteri Si Miskin berasa gembira kerana hajatnya telah dipenuhi. Selang tiga hari, isteri Si Miskin mengidam buah nangka yang terdapat dalam taman raja juga. Sekali lagi Si Miskin menghadap Maharaja Indera Dewa. Baginda memperkenankan hajat Si Miskin.

Bab 3 Negeri Puspa Sari

Isteri Si Miskin melahirkan seorang anak lelaki dan diberikan nama Marakarma. Si Miskin mendirikan pondok untuk kediaman mereka sekeluarga. Ketika mengali untuk membina pondok. Si Miskin telah menemui tempayan besar yang mengandungi emas. Pada hari yang lain, ketika dia sedang memangku anaknya, dia mengatakan sekiranya anaknya itu anak dewa, jadikanlah sebuah negeri di dalam hutan ini. Dengan takdir Allah, wujudlah sebuah negeri dan Si Miskin memberikan nama negeri itu Puspa Sari. Manakala namanya ditukar kepada Maharaja Indera Angkasa dan isterinya diberikan nama Tuan Puteri Ratna Dewi. Beberapa tahun kemudian, Tuan Puteri Ratna Dewi melahirkan seorang puteri dan diberikan nama Tuan Puteri Nila Kesuma.

Nilai

Antara nilai murni ialah kasih sayang, contohnya Si Miskin berusaha menunaikan hajat isterinya yang mengidam dengan menemui Maharaja Indera Dewa untuk memperoleh mempelam dan buah nangka.

Seterusnya tanggungjawab, contoh Si Miskin bertanggungjawab terhadap keluarganya dengan membina pondok untuk mereka sekeluarga tinggal.

Selain itu hemah tinggi, contohnya Si Miskin tunduk dan menyembah tanda hormat apabila menemui Maharaja Indera Dewa.

Pengajaran

Antara pengajaran ialah kita perlu mendengar nasihat orang yang lebih tua, contoh yang ditunjukkan oleh Betara Angkasa Indera Dewa yang tidak mendengar nasihat Betara Guru bahawa hidup di dunia ini akan mengalami kesusahan, janganlah diikuti.

Selain itu kita hendaklah mengasihi isteri kita, contohnya Si Miskin berusaha menunaikan hajat isterinya yang mengidam dengan berusaha mendapatkan buah mempelam dan nangka.

Akhir sekali pemerintahan perlu bersikap adil terhadap rakyat, contohnya Maharaja Indera Angkasa memerintah Puspa Sari dengan adil menyebabkan rakyat menyayanginya dan negerinya makmur.

Taju'l Muluk

Sinopsis

Raja Zainu’l Muluk yang memerintah Syarqastan dalam keadaan gering. Menurut nujum, penyakit baginda akan sembuh sekiranya memperoleh bunga bakawali. Keempat-empat anak baginda pergi mencari bunga bakawali, kecuali Taju’l Muluk. Sudah lama merantau, putera baginda tidak juga kembali kerana termasuk perangkap Puteri Jenuh Hati, yang pandai bermain catur menyebabkan Taju’l Muluk pergi mencari.

Taju’l Muluk bekerja dengan seorang amir dan setiap hari selama dua jam dihabiskan bermain catur. Setelah dia mahir, dia pun pergi ke mahligai Puteri Jenuh Hati untuk menyelamatkan adik-adiknya. Untuk mendapat masuk ke mahligai tersebut, Taju’l Muluk terpaksa mengaku seorang perempuan tua sebagai neneknya. Menurut nenek itu, kehebatan Puteri Jenuh Hati bermain catur kerana memelihara seekor kucing dan tikus. Sekiranya baginda hendak kalah, segera diisyaratkan kepada kucing, kemudian kucing akan menggoyangkan kepalanya, lalu padamlah pelita itu. Ketika itulah tikus akan keluar mengacau buah catur. Strategi ini digunakan menyebabkan baginda dapat mengalahkan berates-ratus orang raja.

Apabila mengetahui akan rahsia itu, Taju’l Muluk membeli seekor musang dan dajar anak musang itu. Apabila dia memetik tangan, keluarlah musang itu. Dengan menggunakan kuda dan memakai pakaian lengkap, Taju’l Muluk pergi ke mahligai Puteri Jenuh Hati. Puteri Jenuh Hati melayan kedatangan Taju’l Muluk dengan baik. Kemudian Taju’l Muluk mengajak Puteri Jenuh Hati bermain catur. Dalam pusingan pertama, Taju’l Muluk kalah. Ketika pusingan kedua, Puteri Jenuh Hati hamper kalah, lalu baginda member isyarat kepada kucing, menyebabkan pelita terpadam dengan sendirinya. Taju’l Muluk kemudian member isyarat kepada anak musangnya, lalu anak musangnya itu mengejar tikus yang hendak mengacau catur. Oleh sebab Puteri Jenuh Hati tidak dapat menipu, baginda kalah teruk di tangan Taju’l Muluk.

Setelah harta benda Puteri Jenuh Hati habis, Taju’l Muluk membuat pertaruhan dengan Puteri Jenuh Hati. Menurutnya, jika dia kalah, baginda boleh mengambil harta yang dimenanginya. Manakala, sekiranya baginda yang kalah, dia akan mengambil semula harta yang tinggal milik Puteri Jenuh Hati. Akhirnya pertandingan itu memihak kepada Taju’l Muluk. Dia kemudian menceritakan tujuan dia datang ke mahligai tersebut. Akhirnya, adik Taju’l Muluk dibebaskan.

Menurut cerita Puteri Jenuh Hati, Bakawali merupakan anak raja yang besar kerajaannya. Di dalam taman piteri itu terdapat sebuah kolam dan di tengah kolam tersebut terdapat bunga bakawali yang dicari Taju’l Muluk selama ini. Untuk mencari kekuatan, Taju’l Muluk menceritakan kisah seekor harimau dengan Brahman. Dengan semangat yang kuat, Taju’l Muluk pergi ke sempadan negeri Bakawali. Setelah melalui pelbagai cabaran, akhirnya Taju’l Muluk menemui raksasa dan dia terpaksa berbaik-baik dengan raksasa tersebut. Dengan bantuan raksasa, jin telah membawa Taju’l Muluk terbang menemui Dewi Hamalah. Taju’l Muluk menunjukkan surat yang ditulis oleh raksasa. Apabila jin itu pulang, Dewi Hamalah mengahwinkan Taju’l Muluk dengan Puteri Mahmudah.

Nilai


Antara nilai murni ialah kasih sayang, contohnya Taju’l Muluk kasih akan ayahandanya menyebabkan dia pergi merantau untuk mendapatkan bunga bakawali agar penyakit ayahandanya dapat disembuhkan.

Seterusnya baik hati, contohnya perempuan tua yang dianggap penghulu mahligai Puteri Jenuh Hati telah melayan Taju’l Muluk dengan baik dan menganggap Taju’l Muluk seperti cucunya sendiri.

Akhir sekali keberanian, contohnya Taju’l Muluk seorang yang berani, antaranya sanggup berhadapan dengan raksasa.

Pengajaran


Pengajaran daripada petikan ialah kita perlulah berkorban terhadap darah daging sendiri, contohnya Taju’l Muluk sanggup menghadapi pelbagai cabaran untuk memastikan saudaranya yang diculik Puteri Jenuh Hati dapat dibebaskan dan ayahandanya yang gering dapat disembuhkan.

Seterusnya kita hendaklah jujur dalam setiap tindakan, contohnya yang ditunjukkan oleh Puteri Jenuh Hati yang menggunakan tipu muslihat untuk menang dalam permainan catur janganlah diikuti.

Akhir sekali kita sewajarnya bijak menggunakan akal ketika menghadapi kecemasan, contohnya Taju’l Muluk menggunakan tipu muslihat apabila berhadapan dengan raksasa yang sebesar gunung yang mahu memakannya.