Khamis, 27 Januari 2011

Sinopsis Novel Hikmah

HIKMAH memaparkan kisah seorang pelajar miskin yang bernama Amri. Dia begitu sayang akan ibunya yang sudah tua. Amri seorang anak yang baik ketika di rumah tetapi berlainan perangainya apabila berada di sekolah. Dia suka membuli pelajar junior dengan meminta wang perlindungan. Sesiapa saja yang ingar dengan kemahuannya, maka pelajar tersebut akan menerima padahnya. Dia melakukan ini semua sebagai cara melepaskan geram dan tekanan akibat sikap ayahnya seorang kaki judi yang seringkali menyusahkan dan menyakiti ibunya. Namun dia menyembunyikan kisah keluarganya sehingga Sapura seorang pengawas di sekolahnya datang ke rumahnya.

Kehadiran Sapura ke rumah Amri adalah bertujuan untuk memberitahu ibunya tentang kejadian yang menyebabkannya terjatuh ke dalam bendang setelah basikalnya dihimpit oleh Amri ketika dalam perjalanan balik dari sekolah. Amri berbuat demikian kerana Sapura seringkali menjadi pelapor perbuatan buruknya kepada guru disiplin (Cikgu Harun) sekolahnya. Sapura tidak sempat menceritakan hal tersebuat kepada ibu Amri setelah melihat peristiwa menyayat hati di rumah Amri.

Sapura bersimpati dengan nasib yang menimpa Amri. Ayahnya mengambil wang dan rantai emas kepunyaan ibu Amri untuk dijadikan modal berjudi. Ibunya pula dipukul tanpa belas kasihan. Amri tidak punya wang untuk membawa ibunya yang sakit ke hospital. Amri teringat akan wang simpanannya. Selain wangnya sendiri, wang tersebut juga wang perlindungan yang dikutip daripada pelajar junior. Amri sedar wang tersebut bukan dari sumber yang halal seperti yang disangka ibunya, namun dia tidak punya pilihan lain. Lalu, Amri mengayuh basikalnya ke bandar untuk membelikan ubat untuk ibunya.

Setibanya di sebuat farmasi di bandar, Amri membeli ubat yang sesuai dengan nilai wang yang ada padanya. Tiba-tiba datang seorang pemuda meminta pertolongnya. Nasibnya kurang baik kerana pemuda tadi sebenarnya seorang penagih yang berniat untuk memeras ugut dengan meminta wang daripadanya. Oleh sebab Amri tidak punya wang untuk diserahkan, pemuda tadi bersama dengan seorang rakannya memukul Amri hingga parah dan ubat ibunya yang dibeli tadi jatuh bertaburan. Sudah jatuh ditimpa tangga. Ketika itu, Amri teringat akan perbuatannya memeras ugut pelajar junior di sekolahnya, dia sedar begitulah keadaanya pelajar-pelajar yang diugutnya itu. Dia juga sedar wang yang digunakan untuk membeli ubat ibunya adalah haram. Inilah akibatnya, Allah akan membalas balik perbuatan yang kita lakukan terhadap orang lain. Buat jahat, dibalas jahat.

Sapura yang mengekori Amri mendapati Amri cedera dan tidak sedarkan diri. Sapura mengejutkan Amri dan memberitahu bahawa ibunya sedang dirawat di hospital. Sapura mengajak Amri melawat ibunya di hospital. Ibu Amri dibawa ke hospital oleh ayah Sabrina. Amri terharu dan berterima kasih atas pertolongan Sapura dan keluarga. Amri meminta maaf kepada Sapura.

Akhirnya Amri dan Sapura bersahabat baik. Amri telah berubah. Kini dia pula yang menjadi pelindung kepada pelajar-pelajar yang menjadi mangsa buli di sekolahnya. Amri mengharapkan sinar baru dalam keluargannya apabila ayahnya keluar dari penjara nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan