Selasa, 29 Januari 2013

Novel Hikmah: Watak dan Perwatakan

1. Amri
Taat dan bertanggungjawab
-          Amri seorang yang taat pada perintah ibunya.  Misalnya, emak Amri menasihati Amri agar sentiasa bersabar dengan ayahnya.  Dia menuruti nasihat emaknya.  Amri juga bertanggungjawab membeli ubat untuk emaknya walaupun terpaksa mengayuh basikal sejauh 10 kilometer untuk ke pekan.
Berdendam
-          Amri berdendam dengan ayahnya kerana sikap ayahnya yang tidak bertanggungjawab dan selalu memukul emaknya.  Amri akan berdendam dan melepaskan tekanan dengan membuli dan memeras ugut murid lain.
Sedar dan insaf atas kesalahan diri
-          Akhirnya, Amri sedar dan insaf atas kesilapannya selama ini yang selalu memeras ugut dan membuli murid lain.  Kesedaran ini muncul apabila dia telah diperas ugut oleh dua orang pemuda ketika membeli ubat untuk emaknya.
Nakal
-          Amri membuli murid lain dengan memeras ugut mereka.  Dia melakukan perbuatan ini kerana ingin melepaskan tekanan ekoran sikap ayahnya yang tidak bertanggungjawab. 


2.  Sapura
Berani
-          Sapura berani mengadukan tingkah laku Amri yang memeras ugut murid lain.  Semua murid di sekolah itu tidak berani mengadukan perbuatan Amri kepada orang lain. 
Baik hati
-          Sapura sangat baik hati.  Buktinya, dia telah menolong Amri dan emak Amri dengan menghantar mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Tidak berdendam
-          Sapura tidak berdendam dengan Amri walaupun Amri telah mengenakannya sehingga terjatuh ke dalam sawah dan menyebabkan baju Sapura kotor. 
Pemaaf
Sapura memaafkan Amri yang telah mengenakannya dan menolong Amri dengan ibunya

3. Emak Amri
Penyayang
-          Emak Amri sangat sayang akan Amri.  Buktinya, dia sedaya upaya menyediakan keperluan kepada Amri walaupun dia tidak mampu.
Tabah
-          Emak Amri tabah menghadapi ujian hidup apabila dia dipukul oleh suaminya.  Selain itu, dia tabah walaupun suaminya tidak menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga. 
Pemaaf
-          Emak Amri memaafkan segala kesalahan ayah Amri walaupun selama ini suaminya itu tidak menjalankan tanggungjawab dengan sempurna dan selalu memukulnya.

4. Bapa Amri
Tidak bertanggungjawab
-          Dia tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga yang baik.
Kejam
-          Dia selalu memukul isterinya tanpa belas kasihan.  Bapa Amri gemar bermain judi dan dia selalu meminta wang daripada ibu Amri untuk berjudi dan membeli dadah.

Isnin, 28 Januari 2013

Novel hikmah: Latar

 Latar dalam novel ini terbahagi kepada tiga, iaitu latar masyarakat, latar tempat dan latar masa.

Latar Masyarakat
Antara latar masyarakat yang terdapat dalam novel ialah masyarakat yang mengalami tekanan hidup, Contohnya Amri mengalami tekanan hidup kerana keadaan keluarganya yang porak-peranda, ayahnya hanya tahu pulang meminta duit dan berjudi. Seterusnya masyarakat yang mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Contohnya ayah Amri yang terlibat dengan kegiatan perjudian dan penyalahgunaan dadah. Seterusnya masyarakat yang suka membantu. Contohnya Sapura telah membantu Amri semasa diperas ugut di sebuah lorong semasa hendak pulang daripada membeli ubat di farmasi selain Pak Dolah, peruncit yang sentiasa memberikan hutang kepada emak Amri. Selanjutnya masyarakat yang melakukan jenayah, contohnya ayah Amri yang akhirnya dipenjarakan dan hadirnya dua orang pemeras ugut yang telah menyamun Amri tetapi mereka gagal mendapat wang daripada Amri. Akhirnya masyarakat yang insaf akan keasalahan yang telah dilakukan, contohnya ayah Amri yang berada di dalam penjara telah pun insaf dan berharap agar keluarganya dapat menerimanya semula.

Latar Tempat
Antara latar yang terdapat dalam novel ini ialah latar di dalam kelas/sekolah. Contohnya murid-murid lain tidak berani mengangkat muka apabila Amri masuk ke dalam kelas selepas dia dirotan oleh Cikgu Salman kecuali Siva seorang sahaja yang berani berbual-bual dengannya. Seterusnya di rumah Amri, selepas kepulangan Amri dari sekolah. Amri juga terserempak dengan Sapura semasa ingin menyisihkan diri di hujung padang, walaupun telah ditegur Sapura. Selanjutnya di tempat letak basikal, contohnya Amri menunggu Sapura dan berpura-pura baik sebelum balik bersama-sama dan mengenakan Sapura. Seterusnya di farmasi, contohnya Amri membeli ubat demam dan luka untuk ibunya. Akhirnya di hospital, contohnya keluarga Sapura membawa emak Amri ke hospital selain Amri yang telah diselamatkan oleh Sapura.

Latar Masa

Latar masa dalam novel ini adalah pada waktu siang/tengah hari, contohnya semasa Amri dan Sapura pulang dari sekolah bersama-sama sebelum Amri mengenakan Sapura. Seterusnya pada waktu malam, yakni pada pukul 11.00 malam apabila ayah Amri pulang untuk meminta wang daripada isterinya, kain yang baru dilipat bertaburan apabila ayahnya menyelongkar gerobok baju dan seterusnya apabila wang yang diperoleh agak sedikit, ayahnya telah meragut rantai yang dipakai oleh ibunya.

Isnin, 21 Januari 2013

Hikmah: Plot

Binaan Plot:

(a) Peristiwa disusun secara tidak kronologi. Terdapat peristiwa imbas kembali. Contohnya, Sapura teringat kembali peristiwa ketika dia hendak ke kantin untuk bersarapan. Sapura terlihat akan Amri sedang memarahi seorang pelajar junior. Bermula daripada peristiwa itulah Sapura melaporkan hal itu kepada Cikgu Salman dan Amri dikenakan hukuman.

(b) Pada permulaan cerita, Amri berasa sakit hati kepada Sapura apabila pengawas sekolah itu mengadukan halnya mengugut Saleh kepada guru disiplin sekolah, Cikgu Salman. Oleh sebab Sapuralah, dia telah dirotan oleh Cikgu Salman. Amri bertekad untuk membalas dendam terhadap Sapura.

(c) Plot berkembang apabila Amri memarahi ayahnya kerana menyebabkan kehidupan mereka sekeluarga susah. Ayahnya sering meminta duit daripada ibu Amri. Amri bersimpati terhadap ibunya. Amri sangat sayang akan ibunya. Tetapi Amri tidak berdaya untuk membantu ibunya. Pada suatu hari, ibu Amri telah dipukul oleh ayahnya sehingga luka di dahi. Amri segera ke bandar untuk membelikan ibunya ubat.

(d) Pada bahagian klimaks, Amri telah ditahan oleh seorang lelaki yang cuba menyamunnya ketika pulang dari farmasi. Lelaki itu dan kawannya meminta wang daripada Amri. Oleh sebab Amri tidak memberi mereka wang, mereka telah memukul Amri dan menuangkan ubat yang dibeli oleh Amri untuk ibunya.

(e) Plot mula menurun apabila Sapura dan ayahnya membantu Amri yang cedera dipukul penyamun. Mereka membawa Amri ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Amri dan emaknya mengucapkan terima kasih kepada keluarga Sapura kerana membantu mereka.

(f) Plot ditamatkan setelah Amri insaf. Kini, Amri dan Sapura berkawan baik. Amri juga telah berubah menjadi menjadi murid yang baik dan pelindung kepada murid-murid yang lemah.

Ahad, 13 Januari 2013

Erti Sebuah Pengorbanan: Nilai dan Pengajaran

1. Nilai kasih sayang
Iman amat menyayangi ibu dan bapanya walaupun mereka telah berpisah. Datuk dan nenek Iman juga amat menyayangi Iman.

2. Nilai ketabahan
Iman tabah menghadapi pelbagai dugaan untuk mencapai kemenangannya dalam pertandingan pidato peringkat sekolah dan daerah

3. Nilai kerajinan
Iman merupakan seorang pelajar yang rajin membaca dan mengulang kaji pelajaran.


1. Kita hendaklah menyayangi ibu dan bapa walaupun mereka telah berpisah kerana tanpa mereka, kita tidak akan lahir ke dunia.

2. Kita perlu tabah menghadapi pelbagai dugaan untuk mencapai kemenangan dalam sesuatu pertandingan.

3. Sebagai seorang pelajar kita haruslah rajin membaca dan mengulang kaji pelajaran.

Erti Sebuah Pengorbanan: Latar

Latar Masa
 Pada waktu pagi.
Sewaktu sesi persekolahan pagi bermula jam 7.35 pagi.
Contohnya, sewaktu di dalam kelas Linda telah mengasari Iman.

 Pada waktu petang.
Selepas sesi persekolahan.
Contohnya, Iman menemani Pei Wen membeli barang di pasar raya.

 Pada waktu malam.
Hubungan Iman dengan ibunya.
Contohnya, Iman selalu berbalas e-mail dengan ibunya yang berada di New Zealand.

Latar Tempat

 Sekolah
Tempat Iman, Pei Wen, Zulkarnain, Linda dan Adif Danial menuntut ilmu.

 Rumah datuk dan nenek Iman
Tempat tinggal Iman setelah ibunya pergi melanjutkan pelajaran ke New Zealand.

 Port Dickson
Bapa Iman, Yusri membawa Iman dan datuk neneknya bersiar-siar ke Port Dickson.

 Kampung
Iman tinggal bersama-sama dengan datuk dan neneknya di kampung.

Latar Masyarakat

 Masyarakat pelajar
Masyarakat ini diwakili oleh Iman, Linda, Pei Wen, Zulkarnain dan Adif Danial.

 Masyarakat kampung
Iman tinggal di kampung bersama-sama datuk dan neneknya.

 Masyarakat yang patuh kepada agama
Datuk selalu bersembahyang jemaah di surau berhampiran rumahhnya di kampung tersebut.

Erti Sebuah Pengorbanan: Watak dan Perwatakan

Watak Utama

Iman Zulaikha
 Pelajar tingkatan satu

 Penyayang
Iman amat menyayangi kedua-dua ibu dan bapanya walaupun mereka telah bercerai. Malahan Iman bercita-cita untuk menyatukan mereka semula.

 Gigih
Iman gigih berlatih untuk memenangi pertandingan pidato peringkat sekolah dan peringkat daerah. Hasil usahanya yang gigih, dia berjaya menjadi johan.

 Pemaaf
Iman merupakan seorang yang pemaaf. Dia memaafkan kesalahan Linda yang pernah menolaknya sehingga jatuh tangga dan mengambil diari serta teks pidatonya sebelum pertandingan.

 Berani
Iman berani menentang Linda yang menyuruhnya menarik diri daripada pertandingan pidato agar memberi laluan kepadanya.


Watak Sampingan

Cikgu Julia
 Merupakan guru kelas Iman Zulaikha.
 Seorang guru yang bertanggungjawab terhdap semua muridnya.
 Telah banyak membantu Iman Zulaikha dalam pelajaran dan pertandingan pidato yang di sekolahnya.


Pei Wen
 Merupakan sahabat baik Iman.
 Belajar dalam kelas yang sama dan tinggal sekampung dengan Iman Zulaikha. Tinggal dengan emak tirinya.


Adif Danial.
 Merupakan sahabat baik Zulkarnain.
 Rakan sekelas Iman Zulaikha.
 Merupakan pelajar terbaik dalam kelas 1 Dinamik.


Linda
 Merupakan rakan sekelas Iman Zulaikha.
 Suka menyakiti hati Iman dan akhirnya dia insaf akan kesalahannya dan berbaik semula dengan Iman Zulaikha.

Erti Sebuah Pengorbanan: Plot

Binaan Plot

Permulaan
Iman Zulaikha merupakan pelajar tingkatan satu yang tinggal bersama-sama datuk dan neneknya di kampung. Iman tinggal bersama-sama dengan ibunya setelah pihak mahkamah memberikan hak penjagaan kepada ibunya. Iman kemudiannya berpindah ke kampung kerana ibunya melanjutkan pelajaran ke New Zealand. Namun, kerana kasih sayang terhadap ibu dan bapanya, dia menyimpan hasrat untuk menyatukan mereka semula.

Perkembangan
Dia amat senang berkawan dengan Pei Wen yang tinggal bersebelahan rumah datuknya di kampung. Mereka sering bersama-sama ke sekolah. Pei Wen dan Iman berkongsi suka duka dan sering mengatasi masalah bersama-sama. Iman dan ibunya sering berhubung melalui kiriman e-mail.

Perumitan
Linda, rakan sekelas Iman, sering menimbulkan masalah kepada Iman kerana Linda tidak mahu berbaik-baik dengan Iman. Hal ini menghairankan Iman. Apabila Cikgu Julia mencari wakil pidato untuk mewakili sekolah ke peringkat daerah, Linda menjadi pesaingnya. Kemunculan Adif Danial yang berkawan rapat dengan Iman, Pei Wen dan Zulkarnain tambah menaikkan kemarahan Linda. Linda menyuruh Iman menarik diri daripada pertandingan tetapi tidak dipersetujui oleh Iman.

Puncak
Iman memenangi pertandingan pidato peringkat daerah hasil daripada kegigihannya berlatih walaupun pelbagai masalah yang dihadapinya sepanjang tempoh persediaan bagi menyertai pertandingan tersebut. Dua hari sebelum bertanding, diari dan teks pidatonya hilang. Namun dia cekal. Ayahnya turut hadir memberikan sokongan pada hari pertandingan.

Peleraian
Datuk dan nenek mengadakan kenduri kesyukuran bagi menghargai kejayaan Iman. Berita yang paling menggembirakan Iman ialah bapanya bersetuju untuk membawa Iman serta datuk dan neneknya ke New Zealand bertemu dengan ibunya.

Teknik Plot

1. Dialog
Perbualan antara Iman dan Pei Wen semasa Pei Wen mengadu tentang ibu tirinya yang sering tidak bersefahaman dengannya.

2. Kejutan
Pembaca dikejutkan dengan berita bahawa Yusri ingin membawa Iman berjumpa dengan ibunya di New Zealand.

3. Imbas kembali
Iman terkenangkan peristiwa semasa usianya 12 tahun, ibu dan bapanya bercerai.

4. Suspens
Pembaca tertanya-tanya peristiwa ketika Adif Danial melarikan diri daripada Yusri ketika pertemuan mereka di sekolah.

Erti Sebuah Pengorbanan: Tema dan Persoalan

Tema

Kasih sayang
Iman Zulaikha amat menyayangi kedua-dua ibu bapanya. Setelah mereka bercerai, Iman ditinggalkan bersama-sama datuk dan neneknya di kampung. Namun, hubungan ibu dan bapanya masih baik sebagai sahabat. Pelbagai usaha dilakukan agar kedua-dua ibu bapanya dapat bersatu semula.


Persoalan

1. Persoalan pengorbanan
Ayah Iman dan ibu Adif Danial, terpaksa mengorbankan hasrat mereka untuk berkahwin kerana anak-anak mereka tidak menyetujui perkahwinan tersebut. Ayah Iman akur dengan permintaan Iman agar beliau berbaik-baik dengan bekas isterinya semula. Adif Danial pula belum bersedia untuk menerima orang baharu sebagai ayahnya.

2. Persoalan ketabahan
Iman tabah menghadapi dugaan dan cabaran yang dihadapinya. Setelah ditinggalkan oleh ibunya yang melanjutkan pelajaran di New Zealand, dia menyesuaikan dirinya tinggal dengan datuk dan neneknya di kampung. Segala masalah dihadapinya tanpa merungut malahan dia lebih berazam untuk berjaya.

3. Persoalan hubungan persahabatan
Iman dan Pei Wen bersahabat baik dan sering mencurah rasa serta sama-sama
menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.Kegigihan
Iman gigih berlatih untuk memenangi pertandingan pidato bagi mewakili sekolahnya ke peringkat daerah.

4. Persoalan taat kepada perintah agama
Iman sentiasa menunaikan sembahyang dan memohon doa agar segala apa yang
dihajatinya tercapai.

Erti Sebuah Pengorbanan: Sinopsis

Iman Zulaikha merupakan seorang pelajar tingkatan satu. Setelah bapa dan ibunya bercerai, Iman berpindah dan tinggal bersama-sama datuk dan neneknya di kampung. Iman menyimpan cita-cita yang tinggi agar dia dapat menyatukan semula ibu dan bapanya. Iman dan Pei Wen merupakan pasangan sahabat yang rapat sama ada di sekolah atau di rumah. Kedua-duanya sering mencurah rasa dan sama-sama berbincang bagi menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi. Setiap hari apabila sampai di rumah, Iman akan membaca dan menghantar e-mail kepada ibunya yang berada di New Zealand.

Di sekolah, Iman merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan sering dikagumi oleh pelajar-pelajar yang lain. Namun, Linda sering menimbulkan masalah dan tidak mahu berbaik-baik dengan Iman. Kehadiran pelajar baharu, iaitu Adif Danial ke sekolah mereka menambah lagi rakan Iman termasuk Zulkarnain. Pernah pada suatu ketika Linda menolak Iman sehingga terjatuh dari tangga gara-gara Iman tidak mahu menarik diri daripada pertandingan pidato yang mereka sertai. Berkat kegigihan dan ketabahannya berlatih, Iman berjaya menjadi juara dan bakal mewakili sekolahnya dalam pertandingan pidato peringkat daerah.

Kehadiran ayahnya secara tiba-tiba pada suatu hari mengganggu ketenangan Iman. Ayahnya memberitahu bahawa dia ingin berkahwin dengan Puan Sofia, ibu Adif Danial. Ketika berjumpa Yusri di sekolah, Adif Danial terkejut dan menyedari bahawa Yusri ialah bapa Iman. Hal ini menyebabkan Adif Danial memberontak dan menjauhkan diri daripada Iman, Pei Wen dan Zulkarnain tetapi merapatkan diri dengan Linda.

Oleh sebab kedua-dua anak mereka tidak bersetuju, Yusri dan Puan Sofia tidak jadi berkahwin. Iman kembali mesra dengan ayahnya. Iman menjadi juara pidato di peringkat daerah. Pertandingan ini turut disaksikan oleh ayahnya. Kejahatan Linda terbukti apabila dia ditangkap kerana mencuri diari dan teks pidato Linda. Namun, Iman memaafkan Linda.

Berita gembira disampaikan oleh ayah Iman. Ayahnya mengajak Iman, datuk dan neneknya pergi ke New Zealand untuk bertemu dengan ibunya. Hal ini amat menggembirakan Iman.