Ahad, 13 Januari 2013

Erti Sebuah Pengorbanan: Plot

Binaan Plot

Permulaan
Iman Zulaikha merupakan pelajar tingkatan satu yang tinggal bersama-sama datuk dan neneknya di kampung. Iman tinggal bersama-sama dengan ibunya setelah pihak mahkamah memberikan hak penjagaan kepada ibunya. Iman kemudiannya berpindah ke kampung kerana ibunya melanjutkan pelajaran ke New Zealand. Namun, kerana kasih sayang terhadap ibu dan bapanya, dia menyimpan hasrat untuk menyatukan mereka semula.

Perkembangan
Dia amat senang berkawan dengan Pei Wen yang tinggal bersebelahan rumah datuknya di kampung. Mereka sering bersama-sama ke sekolah. Pei Wen dan Iman berkongsi suka duka dan sering mengatasi masalah bersama-sama. Iman dan ibunya sering berhubung melalui kiriman e-mail.

Perumitan
Linda, rakan sekelas Iman, sering menimbulkan masalah kepada Iman kerana Linda tidak mahu berbaik-baik dengan Iman. Hal ini menghairankan Iman. Apabila Cikgu Julia mencari wakil pidato untuk mewakili sekolah ke peringkat daerah, Linda menjadi pesaingnya. Kemunculan Adif Danial yang berkawan rapat dengan Iman, Pei Wen dan Zulkarnain tambah menaikkan kemarahan Linda. Linda menyuruh Iman menarik diri daripada pertandingan tetapi tidak dipersetujui oleh Iman.

Puncak
Iman memenangi pertandingan pidato peringkat daerah hasil daripada kegigihannya berlatih walaupun pelbagai masalah yang dihadapinya sepanjang tempoh persediaan bagi menyertai pertandingan tersebut. Dua hari sebelum bertanding, diari dan teks pidatonya hilang. Namun dia cekal. Ayahnya turut hadir memberikan sokongan pada hari pertandingan.

Peleraian
Datuk dan nenek mengadakan kenduri kesyukuran bagi menghargai kejayaan Iman. Berita yang paling menggembirakan Iman ialah bapanya bersetuju untuk membawa Iman serta datuk dan neneknya ke New Zealand bertemu dengan ibunya.

Teknik Plot

1. Dialog
Perbualan antara Iman dan Pei Wen semasa Pei Wen mengadu tentang ibu tirinya yang sering tidak bersefahaman dengannya.

2. Kejutan
Pembaca dikejutkan dengan berita bahawa Yusri ingin membawa Iman berjumpa dengan ibunya di New Zealand.

3. Imbas kembali
Iman terkenangkan peristiwa semasa usianya 12 tahun, ibu dan bapanya bercerai.

4. Suspens
Pembaca tertanya-tanya peristiwa ketika Adif Danial melarikan diri daripada Yusri ketika pertemuan mereka di sekolah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan